Anak Yatim Berlian Yang Ditinggalkan Berharga
Sabda Rasulullah SAW;
“Aku
dan orang yang memelihara anak yatim, di syurga nanti seperti ini
(sambil menunjukkan dua jarinya – bermaksud jaraknya amat dekat).”
Hadis Riwayat Bukhari
Berdasarkan
hadis Baginda Nabi SAW tersebut, jelas menunjukkan kelebihan buat
mereka yang memelihara dan menyantuni anak-anak yatim. Sebelum itu,
tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan ‘anak yatim’?
Siapakah golongan yang dimaksudkan itu?
Menurut definisi dari sudut syariah Islam, istilah ‘anak yatim’ ialah
kanak-kanak yang kematian salah seorang, sama ada ibu atau bapa sebelum
usianya dewasa (baligh). Manakala anak-anak yatim piatu pula bermaksud
kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya, kehilangan atau
kematian kedua-dua ibu dan bapanya.
Bagi
orang dewasa yang kehilangan atau kematian ibu, bapa atau kedua-duanya,
tidak lagi digelar sebagai anak yatim. Ini kerana mereka sudah mampu
menyara dan menjaga dirinya sendiri. Gelaran ‘anak yatim’ atau ‘yatim
piatu’ hanya sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang tidak mampu menjaga
dan menyara diri sendiri. Mudah kata, kanak-kanak yang bergelar ‘anak
yatim’ ini masih memerlukan pertolongan atau bantuan daripada orang
lain.
Hadis
tersebut turut dinyatakan oleh Imam Bukhari dalam bab keutamaan orang
yang mengasuh anak yatim. Tahukah anda, apakah kelebihan menyantuni anak
yatim di sisi Islam?
1# Berada Dekat Dengan Rasulullah SAW
Alangkah
bahagianya jika berada dekat dengan Baginda Nabi SAW kelak. Bagi mereka
yang menyantuni anak yatim semasa di dunia, beruntunglah kalian.
Ini kerana Rasulullah SAW memberi jaminan untuk menempatkan kedudukan kalian di sisinya.
Hal ini sepertimana penjelasan hadis di atas.
2# Memiliki Pahala Yang Setaraf Dengan Jihad
Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Barang
siapa yang mengasuh tiga anak yatim, dia bagaikan bangun pada malam
hari dan berpuasa pada siang harinya, dan bagaikan orang yang keluar
setiap pagi dan petang menghunus pedangnya untuk berjihad di jalan
Allah. Dan, kelak di syurga bersamaku bagaikan saudara, sepertimana
kedua jari ini, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.”
Hadis Riwayat Ibnu Majah
3# Mendapat Perlindungan Di Hari Kiamat
Rasulullah SAW bersabda,
“Demi
Allah yang mengutusku dengan kebenaran, di hari kiamat Allah SWT tidak
akan mengazab orang yang mengasihi anak yatim, dan bersikap ramah
kepadanya, serta bertutur kata yang manis. Dia benar-benar menyayangi
anak yatim dan mengetahui kelemahannya serta tidak menyombongkan diri
pada tetangganya atas kekayaan yang diberikan Allah kepadanya.
”Hadis Riwayat at-Tabrani
4# Masuk Ke Syurga Dengan Mudah
Rasulullah SAW bersabda,
“Barang
siapa yang memelihara anak yatim di tengah kaum Muslimin untuk memberi
makan dan minum, maka pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga, kecuali
jika dia telah berbuat dosa yang tidak dapat diampuni.”
Hadis Riwayat at-Tirmizi
5# Sebagai Terapi Hati Yang Keras
Aneh bukan? Tapi ada benarnya. Hal ini sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Dari
Abu Hurairah, bahawa seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW akan
hatinya yang keras, lalu Nabi SAW berkata; ‘Usaplah kepala anak yatim
dan berilah makan kepada orang miskin.”
Hadis Riwayat Imam Ahmad
6# Beroleh Kebaikan Yang Banyak
“Dari
Abu Umamah bahawa Nabi SAW bersabda; ‘Barangsiapa yang mengusap kepala
anak yatim lelaki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap
rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan’.”
Hadis Riwayat Imam Ahmad
7# Mendapat Perlindungan Di Sisi Allah SWT
Allah
SWT turut memuliakan insan ini, sehinggakan ia termaktub dalam
firmanNya yang melarang masyarakat atau umat Islam daripada berlaku
zalim kepada mereka. Ternyata, larangan ini menunjukkan bahawasanya
mereka dilindungi. Apabila ada tegahan atau larangan, sudah pasti ada
juga hukuman buat mereka yang ingkar.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Maka terhadap anak yatim, maka janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya.”
Surah ad-Dhuha : 9

Komentar
Posting Komentar